Intervensi Asas Membaca dan Menulis



Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu.


Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas.


Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asas ini dengan seberapa segera yang boleh.


Strategi berikut boleh digunakan mengikut kesesuaian;


a. Berpusatkan Guru


Guru merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.


b. Berpusatkan Murid


Murid diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.


c. Berpusatkan Bahan


Bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan perancangan yang dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti yang akan dijalankan.



Pendekatan


Dalam pelaksanaan Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M), pendekatan secara kelas, kumpulan dan juga individu perlu digunakan mengikut kesesuaian dari segi kebolehan murid, aktiviti yang dirancang dan juga kemahiran yang hendak diajar.


a. Pendekatan secara kelas


Pendekatan secara kelas perlu juga dijalankan supaya murid dapat melibatkan diri dan meningkatkan keyakinan diri dalam aktiviti berkumpulan yang lebih besar. Aktiviti ini lebih sesuai dijalankan di awal dan di akhir waktu belajar.


b. Pendekatan secara berkumpulan


Konsep pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan strategi pengajaran yang berpusatkan guru kepada strategi yang berpusatkan murid


Kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid yang menghadapi masalah yang sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran dengan menggunakan modul pengajaran yang disediakan.


c. Pendekatan secara individu


Guru menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu membimbing untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu bantuan daripada rakan sebaya juga boleh digunakan jika perlu.



Teknik


Pengendalian suatu perancangan untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk mencapai sesuatu objektif.


Tujuan menggunakan pelbagai teknik adalah untuk menarik minat, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid untuk mencapai objektif pengajaran guru.


Antara teknik pengajaran bahasa yang dicadangkan ialah:


teknik bercerita

teknik latih tubi

teknik tunjuk cara

teknik bersoal jawab

teknik main peranan

teknik menyanyi

teknik lakonan

teknik kuiz

 

Bahasa Melayu Merentas Kurikulum


Fokus KIA2M adalah untuk membolehkan murid menguasai kemahiran asas Bahasa Melayu secara intensif. Oleh itu konsep pengajaran Bahasa Melayu merentas kurikulum mestilah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan strategi penggabungjalinan.


Subjek-subjek Pendidikan Jasmani Kesihatan, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran dalam Bahasa Melayu.


Pendidikan Jasmani Kesihatan:


1. Pergerakan menggunakan abjad, suku kata dan perkataan.

2. Permainan dalaman - dam abjad, suku kata, perkataan.

3. Lambung dan sambut pundi kacang/ bola berabjad/ suku kata.


Pendidikan Muzik:


1. Nyanyi Lagu - lagu abjad, mengeja, kanak-kanak.

2. Pergerakan berirama

3. Bunyi-bunyian berirama


Pendidikan Seni:


1. Binaan - menggunakan "play dough', plastesin dsb. membentuk abjad.

2. Catan - melukis bentuk-bentuk abjad, suku kata.

3. Capan - mengecap bentuk.

4. Tampalan - menampal bentuk abjad dan kolaj.


ISU DAN MASALAH MURID


Masalah yang menghalang pembelajaran murid-murid ini termasuklah :


i) Peribadi

* Kekurangan diri

* Selalu ponteng sekolah


ii) Psikologi

* Konsep kendiri yang rendah dan kurang keyakinan diri

* Gangguan emosi – krisis keluarga

* Tiada keyakinan diri untuk berjaya dalam pelajaran


iii) Kecerdasan

* Lambat berfikir dan bertindak

* Mudah lupa

* Sukar memahami dan lemah pengamatan


iv) Sikap

* Tidak minat belajar

* Pasif dan mudah putus asa

* Pendiam, pemalu dan sukar bertindak


GURU


i) Guru Mata Pelajaran

* Guru melabelkan murid yang dianggap lemah.

* Bahan pengajaran yang berasingan tidak disediakan untuk murid yang lemah.

* Guru menganggap masalah murid yang lemah dalam menguasai kemahiran 3M adalah tugas Guru Pemulihan Khas sahaja.


ii) Guru Pemulihan Khas

* Tidak ada panduan khas yang sistematik dalam mengoptimumkan peranannya.

* Kurang mendapat pendedahan dalam P & P yang berkaitan.


PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN SEKOLAH


* Pihak pentadbiran sekolah memberikan sepenuh tumpuan kepada pencapaian cemerlang dalam keputusan peperiksaan UPSR/PKSR.

* Kurang program berkesan yang dirancang untuk menangani masalah penguasaan kemahiran 3M .

* Peruntukan yang terhad membataskan pelaksanaan program yang dirancang


KEMUDAHAN


i) Fizikal

* Tiada peruntukan kelas khas untuk melaksanakan program


Pemulihan Khas.


ii) Kewangan


* Tiada peruntukan khusus dalam melaksanakan Program


Pemulihan Khas.


iii) Bahan-bahan rujukan.


* Bahan rujukan yang sesuai untuk guru dan murid amat berkurangan.


iv) Buku Teks.


* Tiada buku teks yang khusus untuk murid pemulihan khas.


KELUARGA


* Ada dikalangan keluarga/ibu bapa/penjaga yang buta huruf.

* Latar belakang keluarga yang bermasalah.

* Latar belakang sosio ekonomi yang rendah.


KURIKULUM

* Program Pemulihan Khas tidak menjadi agenda utama dalam Mesyuarat Panitia/Kurikulum sekolah ( perbincangan ringkas sahaja mengenai pemulihan ).

* Pengetua dan Guru Besar diharap mengambil inisiatif utama untuk memperbaiki kurikulum di sekolahnya dengan memasukkan agenda pemulihan seperti juga pentingnya agenda-agenda yang lain.

* Beri perhatian kepada Tahun 1, 2 dan 3. Sekiranya perkara ini diambil perhatian khusus oleh sekolah itu sendiri maka mudahlah murid sebegini ditangani maka pembelajaran seterusnya di tahun - tahun yang berikutnya tidak menjadi masalah lagi.


Kesimpulan


Penguasaan kemahiran asas membaca dan menulis akan lebih berkesan jika murid mendapat peluang yang luas dan pelbagai untuk membolehkannya memahami sesuatu konsep.


Oleh itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab para guru untuk merancang pelbagai pendekatan, teknik, media pengajaran dan aktiviti agar murid dapat memahami apa yng disampaikan dengan lebih baik.


Sumber : Persatuan Pendidikan Pemulihan IPGKBM


Post a Comment