Untuk memperkatakan item KBAT, anda perlu mengetahui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025. Jika belum membaca dan memahami PPPM 2013 hingga 2025, anda perlu membacanya.

Jika anda ingin memperkatakan Pedagogi Abad 21, anda perlu memahami konsep Pedagogi Abad 21.

Adakah Pedagogi Abad 21 merangkumi Kelas Abad 21 yang dihias indah dan menarik?

Jika anda sebagai guru abad 21, bagaimanakah PdP atau PdPc yang telah anda laksanakan?

1. Berapa banyakkah INOVASI yang telah anda cipta dan anda gunakan dalam PdP atau PdPc?

Oleh sebab Pedagogi Abad 21 telah dilaksanakan melebihi 3 tahun, mampukah setiap sekolah mengumpulkan inovasi dan kajian tindakan yang dibuat untuk dikongsikan dengan guru sekolah lain? Jika seorang guru menghasilkan satu inovasi atau satu kajian tindakan, berapakah jumlah inovasi yang dihasilkan jika sesebuah sekolah itu mempunyai 100 orang guru?

2. Jika anda guru BM abad 21, mengapakah anda meminta murid menghafal perkataan atau frasa seperti marcapada, pada era globalisasi, ungkapan di corong-corong radio, sedasawarsa, dan banyak lagi? Cara ini bukan PdPc abad 21.

Dalam pedagogi abad 21, kita membimbing murid MEMPEROLEH kata-kata menarik atau frasa yang menarik atau ayat yang menarik melalui pembacaan majalah akademik. Oleh hal yang demikian, guru perlulah menggunakan majalah dalam kelas dan mempuat pelbagai aktiviti supaya ilmu, kosa kata, gaya bahasa dan sebagainya dapat diterapkan dalam minda murid melalui kemahiran aplikasi dan kemahiran sintesis.

3. Adakah anda menerapkan elemen DIDIK HIBUR dalam PdP atau PdPc?

4. Adakah anda membimbing murid tentang kaedah atau teknik untuk MENGUASAI KEMAHIRAN; Kemahiran Aplikasi, Kemahiran Sintesis, Kemahiran Penilaian dan Kemahiran Mencipta?

Di sekolah pula, berapa banyakkah murid yang pandai menulis cerpen, mengarang sajak, mencipta pantun atau syair hasil daripada kemahiran mencipta yang telah diajarkan? Jika guru lebih menumpukan latih tubi atau pengajaran yang berorientasikan peperiksaan, cara itu bukan pedagogi abad 21.

5. Sedarkah anda bahawa anda bukan mengajarkan karangan atau Matematik tetapi anda mengajarkan kemahiran kepada murid seperti kemahiran aplikasi? Selepas anda memilih kemahiran yang hendak diajarkan, barulah anda memilih PETA I-THINK yang sesuai.

Ada banyak lagi perkara yang berkaitan dengan Pedagogi Abad 21 dan item KBAT yang tidak difahami oleh banyak pihak. Perkara yang paling baik ialah kita tidak perlu bising atau riuh-rendah jika tidak mengetahui konsep Pedagogi Abad 21 atau item KBAT. Yang menjadi masalah sekarang ialah mereka yang terlibat secara langsung dalam perkara yang saya perkatakan ini tidak memahami konsep pedagogi Abad 21 atau item KBAT.

Pelaksanaan pedagogi abad 21 akan berjaya jika:
1. Ibu bapa di negara kita ini telah memenuhi syarat sebagai ibu bapa abad 21.

2. Pihak KPM melengkapkan semua sekolah di negara kita sama ada sekolah di luar bandar atau di bandar dengan kemudahan elekrik, kemudahan untuk mengakses internet. Satu daripada ciri sekolah abad 21 ialah sekolah mampu menyediakan kemudahan mengakses internet kepada murid.

3. Murid juga perlu memiliki ciri abad 21.

4. Guru juga sudah sepatutnya memenuhi ciri abad 21. Persoalannya ialah berapakah jumlah guru di negara kita yang telah melengkapkan diri sebagau guru abad 21?

5. Adakah kerajaan mampu melaksanakan sekolah yang menepati ciri-ciri abad 21? Jika satu daripada aspek ini cacat, pedagogi abad 21 sukar untuk direalisasikan.

Sumber: FB Cikgu Ghalib Yunus

Post a Comment