Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sedia berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti tugas-tugas bukan hakiki guru yang membebankan mereka.
Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, hal ini kerana ahli NUTP lebih mengetahui sama ada tugas yang diberikan itu membebankan guru atau tidak berbanding kakitangan kementerian memandangkan pihaknya berada dalam situasi tersebut.
“Saya menyokong 100 peratus tindakan untuk mengkaji beban kerja guru di luar tugas mengajar malah lebih baik sekiranya disusuli dengan tindakan.
“Perkara ini sudah lama berlaku, ia jelas memberi kesan yang negatif kepada pelajar apabila guru tidak dapat memberi perhatian penuh terhadap pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kementerian Pendidikan akan mengkaji bebanan kerja di luar tugas pengajaran yang ditanggung oleh lebih 500,000 guru di seluruh negara bagi memastikannya tidak menjejaskan tumpuan mengajar.
Menteri Pendidikan yang baharu, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, isu tersebut sering menjadi rungutan para guru dan merupakan antara perkara penting yang perlu disemak oleh beliau.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, pendidik tidak seharusnya ditugaskan untuk melakukan kerja selain mengajar kerana ia tidak adil bagi sesetengah guru.
“Pengurangan tugas yang diberikan kepada guru dan hanya menumpukan kepada pembelajaran dan pengajaran dapat memberi jaminan bahawa mereka akan lebih fokus dan bersemangat untuk mengajar di dalam kelas,” katanya.


Post a Comment